Simbologi Vishnu Maha_Vishnu

Selepas kehancuran alam semesta dalam suatu kitaran lama dan sebelum kitaran ciptaan seterusnya bermula, Narayana, Tuhan yang Agung, tidur di atas katilnya, seekor ular besar bernama Sesa (juga dikenali sebagai Ananta), yang terapung di atas permukaan lautan Ksirasamudra ('Lautan Susu'). Salah satu kakinya berada di atas pangkuan isteri-Nya, Lakshmi yang sedang memicitnya dengan lembut. Apabila Narayana bermimpi tentang ciptaan berikutnya, sekuntum bunga teratai timbul dari pusatnya. Dewa Brahma duduk di atas teratai itu. Narayana bangun dari tidur dan mengarahkan Brahma untuk memulakan kerja ciptaan.

Ini ialah sebuah gambar yang penuh alegori. Lautan itu mencerminkan lautan penyebab yang menghasilkan kehidupan. Kshirasamudra, lautan susu mencerminkan Prakriti dalam bentuk sejatinya atau alam semulajadi yang asli, warna putih menggambarkan kesucian atau kesejatian.

Perkataan 'apas' (= air) juga bersamaan dengan amrta (=madu, bermaksud nikmat). Maka, Narayana juga dikatakan terapung di atas lautan nikmat.

Ular Sesa atau Ananta dikatakan mempunyai seribu kepala dan ia menanggung dunia-dunia di atas kepalanya. Ananta, secara literal bermaksud 'tidak berakhir' atau 'infinit', mencerminkan masa kosmik yang tidak berakhir.